MOSCOW: Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, mungkin memilih Gabenor Florida Ron DeSantis sebagai Setiausaha Pertahanan, menggantikan calon awal Pete Hegseth, lapor The Wall Street Journal (WSJ) yang memetik sumber yang arif mengenai perbincangan itu, menurut Sputnik/RIA Novosti.
Pelantikan Hegseth dilaporkan mengejutkan AS, dengan seorang pelobi industri pertahanan memberitahu Politico yang sektor itu menjangkakan calon yang berpengalaman luas dalam bidang pertahanan sepatutnya menerajui Pentagon.
Bagaimanapun, DeSantis bukan satu-satunya calon utama untuk jawatan tersebut, menurut sumber yang dipetik akhbar itu, sambil menambah tempoh 48 jam akan datang adalah penting dalam menentukan keputusan berkenaan.
Awal minggu ini, The Washington Post, memetik dokumen yang diperolehnya, melaporkan yang rakan sekerja Hegseth pada ketika itu menuduhnya melakukan rogol pada 2017. Peguamnya menafikan tuduhan tersebut dan menyatakan hubungan itu berlaku secara suka sama suka. Akhbar itu turut melaporkan pada 2020, Hegseth, yang kini dicalonkan sebagai setiausaha pertahanan, membayar pihak yang mendakwa menjadi mangsa untuk merahsiakan perkara itu dan mengekalkan jawatannya sebagai hos di Fox News.
Sumber turut memberitahu WSJ, sekutu Trump bimbang Hegseth mungkin tidak mampu menangani siasatan lanjut mengenai insiden tersebut dengan baik.
— BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.