Tumpuan :
Dunia

Trump gesa Putin agar tidak tingkatkan perang di Ukraine

Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump (kanan) bersama Presiden Russia, Vladimir Putin di Osaka, Jepun pada 2019. – Foto REUTERS
Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump (kanan) bersama Presiden Russia, Vladimir Putin di Osaka, Jepun pada 2019. – Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menggesa Presiden Russia, Vladimir Putin, supaya tidak meningkatkan peperangan di Ukraine, menerusi panggilan telefon, lapor Washington Post semalam.

Trump membuat panggilan dari kediamannya di Mar-a-Lago, Florida, pada Khamis, hanya beberapa hari selepas kemenangan mengejutkan beliau dalam pilihan raya menewaskan pesaing Demokrat yang juga Naib Presiden AS, Kamala Harris.

Bagaimanapun, setakat ini tiada seorang pun wakil yang dipilih Trump untuk mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Washington Post memetik beberapa orang yang mengetahui mengenai panggilan itu tetapi enggan dikenali, melaporkan bahawa Trump mengingatkan Putin mengenai kehadiran tentera AS yang cukup besar di Eropah.

Mereka turut menyatakan bahawa Trump menyuarakan minat untuk berbincang lebih lanjut mengenai ‘penyelesaian perang Ukraine dalam masa terdekat’.

Pemilihan Trump dianggap berpotensi untuk mengubah lanskap konflik Ukraine yang sudah hampir tiga tahun kerana beliau berkeras untuk menamatkan pertempuran dengan cepat selain mempertikaikan sokongan kewangan berbilion dolar Washington kepada Kyiv.

Dalam pada itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menerusi panggilan telefon kepada Trump, menyifatkan panggilan kepada Putin sebagai ‘cemerlang’, mengatakan bahawa beliau dan Trump bersetuju untuk ‘mengekalkan dialog rapat bagi memajukan kerjasama itu’.

Terdahulu, pentadbiran Demokrat, Presiden AS, Joe Biden, mengesahkan bahawa ia akan menghantar sebanyak mungkin bantuan ke Ukraine sebelum pelantikan Trump pada 20 Januari.

Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan berkata, tindakan itu bertujuan meletakkan Ukraine pada kedudukan paling kukuh di medan perang supaya ia akhirnya berada dalam kedudukan paling kuat di meja rundingan.

Ini termasuk menggunakan baki AS$6 bilion (RM26.37 bilion) pembiayaan untuk Ukraine yang sedia ada.

Sementara itu, kerajaan Russia memberikan reaksi berhati-hati tetapi kebanyakannya positif terhadap kepulangan Trump.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, isyaratnya positif kerana sekurang-kurangnya beliau bercakap mengenai keamanan, bukannya konfrontasi. – AGENSI

Loading...
Terkini