![](https://media.buletintv3.my/2025/02/oKmRw5DC-BULETIN-TV3-AD-12.jpg)
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendesak Raja Abdullah dari Jordan untuk menerima rakyat Palestin yang akan dipindahkan secara kekal di bawah rancangannya untuk mengambil alih Semenanjung Gaza, walaupun Jordan menentang keras langkah itu.
Trump menegaskan beliau tidak akan berundur daripada idea pemindahan penduduk Gaza yang terjejas akibat perang dan mengubah wilayah yang musnah itu menjadi apa yang digelar ‘Riviera Timur Tengah.’
Desakan Trump menimbulkan kemarahan dunia Arab dengan mengatakan bahawa rakyat Palestin tidak akan dapat pulang ke rumah mereka di bawah cadangannya untuk membangunkan kawasan yang dihancurkan oleh serangan Israel.
“Kami akan mengambil, mengawal, menjaga dan menjadikan ia berfungsi dengan banyak pekerjaan akan dicipta untuk orang-orang di Asia Barat,” kata Trump di Pejabat Oval ketika pertemuan dengan pemimpin negara Arab itu di Rumah Putih.
Bagaimanapun, Raja Abdullah tetap mengulangi pendirian teguh Jordan menentang pemindahan penduduk Palestin di Gaza, serta di Tebing Barat yang diduduki yang bersempadan dengan negaranya.
Di sebalik pendirian tegas Jordan, Trump optimis Jordan, serta Mesir akan bersetuju menempatkan penduduk Gaza kerana kedua-dua negara bergantung kepada Washington untuk bantuan ekonomi dan ketenteraan.
Sementara itu, Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi, berkata terdapat rancangan Arab yang diketuai Mesir untuk membina semula Gaza tanpa memindahkan penduduknya.
Jordan, yang terletak di antara Arab Saudi, Syria, Israel dan Tebing Barat yang diduduki, kini menampung lebih daripada dua juta pelarian Palestin dalam populasi 11 juta penduduknya, status dan jumlah mereka menjadi sumber kebimbangan bagi kepimpinan negara itu.
Amman juga sedang menghadapi kesan pembekuan bantuan AS selama 90 hari. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.