NEW YORK: Presiden terpilh Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijadual menerima hukuman pada 10 Januari dalam kes jenayah yang melibatkan bayaran sogokan kepada seorang pelakon lucah, menurut keputusan hakim pada Jumaat.
Tarikh jatuh hukum itu dijadualkan 10 hari sebelum pelantikannya sebagai Presiden AS pada 20 Januari depan.
Namun, hakim menyatakan beliau tidak cenderung menjatuhkan hukuman penjara.
Hakim Juan Merchan menolak permohonan Trump untuk menggugurkan kes itu selepas kemenangan beliau dalam pilihan raya presiden.
Hakim juga memutuskan bahawa presiden terpilih daripada Parti Republikan itu boleh hadir secara fizikal atau maya untuk hukuman, yang dijadualkan 10 hari sebelum pelantikannya sebagai presiden.
Merchan menyebut hukuman pembebasan tanpa syarat, tanpa penahanan, denda, atau percubaan adalah penyelesaian paling sesuai.
Trump, yang sebelum ini dijadualkan dihukum pada 26 November, mendapat penangguhan selepas mengalahkan Naib Presiden Demokrat Kamala Harris dalam pilihan raya 5 November tahun lalu.
Kes itu berpunca daripada bayaran AS$130,000 oleh bekas peguam Trump, Michael Cohen, kepada pelakon filem lucah Stormy Daniels. Bayaran itu bertujuan menutup mulut mengenai dakwaan hubungan seksual antara Trump dan Daniels sebelum pilihan raya 2016, yang dinafikan Trump.
Juri di Manhattan mendapati Trump bersalah atas 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan untuk menutup pembayaran tersebut. Ia menandakan kali pertama seorang presiden AS sama ada yang sedang berkhidmat atau bekas disabitkan kesalahan jenayah.
Trump mengaku tidak bersalah dan menyifatkan kes itu sebagai usaha bermotifkan politik oleh Peguam Daerah Manhattan Alvin Bragg, seorang Demokrat, untuk merosakkan kempen pilihan raya 2024 beliau.
Trump juga berdepan tiga kes jenayah lain pada 2023, termasuk kes dokumen rahsia dan usaha membatalkan kekalahan pilihan raya 2020.
Jabatan Kehakiman telah menggugurkan dua kes di peringkat persekutuan selepas kemenangan pilihan raya Trump, sementara kes di Georgia masih tergantung.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.