GENEVA: Barisan trak membawa bantuan kemanusiaan mula memasuki Gaza, setelah perjanjian gencatan senjata antara Hamas dengan Israel berkuat kuasa.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan perkara itu, trak-trak pertama yang membawa bekalan mula masuk sejurus gencatan senjata berkuat kuasa, pagi Ahad.
Ketua Interim Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Jonathan Whittall, dalam hantaran melalui X memaklumkan, usaha besar-besaran dilakukan oleh rakan-rakan kemanusiaan bagi memuatkan bekalan bantuan yang melonjak, sekali gus bersiap siaga mengagihkannya ke seluruh Gaza.
Bagaimanapun, PBB tidak memberikan butiran mengenai lokasi spesifik penghantaran bekalan bantuan terbabit.
Namun, sumber Mesir berkata sebanyak 197 trak membawa bantuan dan lima lagi dengan muatan bahan api telah masuk melalui lintasan Kerem Shalom yang terletak antara Gaza dengan Israel, dan juga al-Oga serta Nitzana (Mesir-Israel).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.