TORONTO: Serpihan pertama kapal selam Titan yang meletup awal bulan ini ketika dalam pelayaran ke tapak tenggelamnya Titanic ditemui semula dari dasar laut, menurut laporan media Kanada.
Cebisan mayat manusia ditemui di antara serpihan itu, menurut Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS), sambil menyatakan analisis lanjut akan dilakukan, lapor Anadolu Agency memetik laporan media.
“Bukti itu akan memberikan peluang kepada pasukan penyiasat dari beberapa bidang kuasa antarabangsa untuk menentukan punca tragedi ini.
“Masih terdapat banyak kerja yang perlu dilakukan untuk memahami faktor kehilangan besar Titan dan membantu memastikan tragedi seumpamanya tidak berlaku lagi,” kata ketua siasatan AS ke atas tragedi itu, Kapten Jason Neubauer.
Selepas kajian dijalankan oleh pasukan Pengawal Pantai AS dan Kanada menerusi kenderaan kawalan jauh untuk mencapai bangkai kapal selam itu, beberapa bahagian Titan ditemui.
Serpihan pertama itu dibawa ke sebuah pelabuhan di St John, Newfoundland dan setakat ini, belum diumumkan ke mana serpihan itu akan dibawa.
Biarpun diumumkan bahawa gear pendaratan dan penutup belakang kapal selam antara serpihan ditemui, serpihan yang dikeluarkan itu akan memberi penjelasan dalam siasatan yang dijalankan untuk menentukan punca kemalangan.
Komunikasi dengan kapal selam Titan, yang dimiliki dan dikendali OceanGate Expeditions, sebuah syarikat penyelidikan dan pengembaraan laut swasta yang membuat lawatan pelancong ke bangkai kapal Titanic di Lautan Atlantik pada 18 Jun, terputus sejurus selepas menyelam.Kajian mendapati kapal selam itu meletup dan tenggelam, menyebabkan lima orang di dalamnya maut. – BERNAMA-ANADOLU