QUEBEC: Empat kanak-kanak maut manakala seorang lelaki masih hilang, selepas 11 orang yang menangkap ikan di tepi Sungai St. Lawrence di wilayah Quebec, Kanada dihanyutkan ketika air pasang.
Menurut polis, kanak-kanak itu yang berumur 10 tahun ke atas, ditemui tidak sedarkan diri awal pagi Sabtu di pantai kawasan Portneuf-sur-Mer di utara Bandaraya Quebec.
Mereka kemudiannya dikejarkan ke hospital di wilayah itu dan disahkan meninggal dunia.
Seorang lelaki berusia dalam lingkungan tiga puluhan masih hilang.
Perkhidmatan kecemasan yang dipanggil berjaya menyelamatkan enam mangsa daripada kejadian air pasang itu.
Insiden dilaporkan berlaku di wilayah Côte-Nord di Quebec, Kanada, yang meliputi sebahagian besar pantai utara Sungai St. Lawrence. – REUTERS