Tumpuan :
Dunia

Tradisi buatan sabun Nablus Palestin tersenarai dalam warisan budaya tidak ketara UNESCO

Foto fail Reuters

RAMALLAH: Tradisi pembuatan sabun Nablus Palestin tercatat dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengumuman itu dibuat pada sesi ke-19 Jawatankuasa Antara Kerajaan bagi Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara, yang diadakan di Asuncion, Paraguay, menurut agensi berita Palestin (WAFA).

Kementerian Hal Ehwal Luar dan Ekspatriat Palestin dalam mengalu-alukan keputusan UNESCO telah menekankan bahawa warisan budaya Palestin yang ketara dan tidak ketara adalah bukti keaslian dan kedalaman hubungan rakyat Palestin dengan tanah dan warisan mereka sejak zaman purba.

Ia seterusnya menyeru semua negara dan pihak antarabangsa untuk melindungi rakyat, warisan, budaya dan sejarah Palestin daripada percubaan genosid yang berterusan oleh Israel, pihak berkuasa pendudukan haram serta berusaha untuk mencapai hak rakyat Palestin yang tidak boleh dicabut, termasuk hak budaya mereka.

Kementerian turut mengucapkan terima kasih kepada negara anggota yang menyatakan sokongan penuh mereka kepada Negara Palestin, meskipun di tengah pendudukan penjajahan Israel, lapor WAFA.

Sabun Nablus dianggap sebagai satu daripada simbol budaya dan sejarah Palestin yang paling menonjol, kerana tradisinya bermula ratusan tahun yang lepas dan mewakili sebahagian daripada identiti budaya Palestin, bukan sekadar kraf.

Bandar Nablus terkenal dengan sabun ini yang dibezakan dengan bahan semula jadinya terutama minyak zaitun serta kaedah pembuatan tradisional yang diwarisi turun temurun.

— BERNAMA-WAFA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini