AUCKLAND: Sepanjang bulan Jun, penumpang pesawat Air New Zealand perlu menimbang berat sebelum menaiki pesawat.
Tinjauan berat penumpang itu menyasarkan lebih 10,000 penumpang penerbangan antarabangsanya.
Menurut syarikat penerbangan terbabit, ia adalah inisiatif penting untuk memastikan operasi pesawat yang selamat dan cekap dan juga keperluan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam negara itu.
Langkah itu juga bertujuan meningkatkan keselamatan dan mengurangkan kesan alam sekitar yang disebabkan oleh setiap penerbangan.
Pada masa ini, syarikat penerbangan menggunakan ‘andaian jisim’, dengan menganggarkan jumlah berat penumpang berdasarkan angka yang sudah ditetapkan.
“Kami tahu memijak penimbang boleh menakutkan. Kami ingin meyakinkan pelanggan kami bahawa tiada paparan yang boleh dilihat di mana-mana. Tiada siapa yang boleh melihat berat badan anda – walaupun kami,” kata Pakar Peningkatan Kawalan Muatan
Air New Zealand, Alastair James.
“Ia mudah, ia secara sukarela, dan dengan menimbang, anda akan membantu kami ‘menerbangkan’ anda dengan selamat dan cekap, setiap masa.”
James menjelaskan bahawa sebelum setiap penerbangan berlepas, juruterbang perlu mengetahui jumlah berat muatan.
“Kami menimbang segala yang ada di dalam pesawat, daripada kargo hingga makanan di atas kapal, hingga ke bagasi di dalam simpanan. Untuk pelanggan, kru dan beg kabin, kami menggunakan berat purata, yang kami dapat daripada melakukan tinjauan ini”
Tinjauan akan dilakukan di pintu masuk ke lounge bagi penerbangan Air New Zealand terpilih yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland sehingga 2 Julai depan.