Tumpuan :
Dunia

Tikus amfibia antara 27 spesies baharu ditemui di hutan Amazon

Tikus bertulang duri antara haiwan baharu ditemui di Amazon. – FOTO: Conservation International.

LIMA: Seekor tikus amfibia yang memiliki kaki separa berselaput dan memakan serangga akuatik antara 27 spesies haiwan baharu yang ditemui semasa ekspedisi ke Amazon Peru pada 2022.

Perkara itu disahkan Conservation International.

Ketua Program Penilaian Pantas Conservation International, Trond Larsen berkata, saintis turut menemui masing-masing seekor tikus bertulang duri dan tupai kecil, lapan jenis ikan, tiga amfibia dan 10 jenis rama-rama.

Beliau berkata, 48 spesies lain yang ditemui oleh penyelidik berkemungkinan adalah spesies baharu, namun memerlukan kajian lanjut.

Spesies baharu ini ditemui di Alto Mayo, kawasan terlindung yang mempunyai pelbagai ekosistem, wilayah adat dan kampung.

“Menemui begitu banyak spesies mamalia dan vertebrata (haiwan yang mempunyai tulang belakang) baharu adalah sesuatu yang luar biasa, terutamanya di kawasan yang dipengaruhi manusia seperti Alto Mayo,” kata Larsen.

Ekspedisi yang berlangsung dari Jun hingga Julai 2022 itu membabitkan 13 saintis bersama juruteknik tempatan dan anggota kumpulan masyarakat orang Asli.

“Bekerjasama rapat dengan orang Awajun sangat menarik. Mereka memiliki pengetahuan tradisional yang luas mengenai hutan, haiwan, dan tumbuhan yang mana mereka hidup bersama,” kata Larsen.

Antara spesies baharu yang ditemui, adalah tikus bertulang duri, tikus amfibia dan tupai kecil berukuran 14 sentimeter (5.5 inci).

“(Tupai) sangat mudah diletakkan dalam tapak tangan. Warnanya yang coklat kekuningan sangat comel dan cantik, serta sangat pantas,” kata Larsen dengan menambah ia melompat dengan cepat dan bersembunyi di pokok.

“Penemuan lain termasuk ikan keli bersisik,” katanya.

Sebanyak 2,046 spesies haiwan sudah direkodkan sepanjang ekspedisi selama 38 hari menggunakan perangkap kamera, alat pengesan bioakustik dan pengambilan sampel DNA.

Daripada jumlah itu, 49 spesies dikategorikan sebagai terancam, termasuk monyet ekor berbulu kuning dan monyet pokok.
Larsen berkata, penemuan ini memperkukuh keperluan untuk melindungi kawasan berkenaan.

“Melainkan langkah diambil sekarang untuk melindungi tapak ini dan membantu memulihkan beberapa bahagian landskap… ada kemungkinan besar ia tidak akan bertahan dalam jangka masa panjang,” kata Larsen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini