![](https://media.buletintv3.my/2023/04/8Lnr3o2f-TEMPLATE-CMS-PP-8.jpg)
BANGKOK: Seorang lelaki bertindak menikam isterinya sebanyak 21 kali hingga maut di wilayah Lopburi, tengah Thailand, sebelum cuba membunuh diri dengan memandu trak pikap Chevrolet miliknya ke dalam Sungai Chao Phraya di wilayah Phra Nakhon Sri Ayutthaya, semalam.
Portal Thaiger melaporkan, cubaan lelaki itu bagaimanapun tidak berjaya apabila diselamatkan oleh salah seorang saudaranya yang kebetulan memancing di tebing sungai.
Terdahulu, seorang wanita maut ditikam di sebuah rumah di mukim Ngio Rai daerah Mueang Lopburi.
Di tingkat atas, polis menemui mayat Yuwadee Phakhai, 30, dengan kesan tikaman, terbaring di atas katil dalam keadaan berlumuran darah.
Polis turut menjumpai sebilah pisau bengkok berdarah dan adik perempuan Yuwadee yang berusia 18 tahun, Achariya Phakhai memberi keterangan kepada polis bahawa dia mendengar kakaknya menjerit beberapa kali pada 8 pagi sebelum terdiam.
Polis segera mengesan dan menahan suspek yang kemudiannya mengaku membunuh isterinya serta cuba membunuh diri dengan memandu ke dalam sungai.
Sementara itu, ibu mentua suspek berkata, pasangan itu sering bertengkar sejak kebelakangan ini kerana sikap cemburu menantunya.