WASHINGTON: TikTok kembali beroperasi pada petang Ahad selepas Donald Trump, yang kembali memegang jawatan Presiden Amerika Syarikat untuk penggal kedua berkata pengguna “berhak untuk menyaksikan pelantikannya yang mengujakan.”
Trump juga mengumumkan lanjutan tempoh untuk mengelakkan aplikasi itu terus dihentikan.
Menurut laporan United Press International (UPI), Pengguna yang membuka aplikasi itu, menerima mesej daripada TikTok memaparkan, “Selamat kembali! Terima kasih atas kesabaran dan sokongan anda. Hasil usaha Presiden Trump, TikTok kini kembali di AS!”.
Dalam kenyataan di platform Truth Social pada pagi Ahad, Trump menyeru syarikat-syarikat agar tidak membiarkan TikTok dihentikan operasinya.
Ujarnya, beliau akan mengeluarkan perintah eksekutif pada Isnin untuk melanjutkan tempoh sebelum larangan undang-undang berkuat kuasa agar boleh mencapai perjanjian bagi melindungi keselamatan negara itu.
Majlis pelantikan Trump sebagai Presiden AS ke-47 dijadual berlangsung pada Isnin, 20 Januari.
Beliau akan mengangkat sumpah jawatan bersama JD Vance yang akan menjadi Naib Presiden AS.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.