Tumpuan :
Dunia

Tiada pilihan, Doktor Tanpa Sempadan gantung operasi di kem pelarian terbesar Sudan

DARFUR: Pertubuhan bantuan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) menggantung operasinya di sebuah kem pelarian di Sudan berikutan peningkatan pertempuran dan keganasan di wilayah Darfur Utara.

Agensi itu sebelum ini mengendalikan sebuah hospital medan di kem pelarian terbesar di wilayah berkenaan, iaitu Kem Zamzam, berhampiran Al Fashir.

Kem yang menempatkan sekurang-kurangnya setengah juta orang itu, telah beberapa kali diserang dengan bedilan beberapa minggu kebelakangan ini.

Menurut Pengarah Negara MSF, Yahya Kalilah dalam satu kenyataan, menghentikan projek di tengah-tengah bencana yang kian meruncing di Zamzam adalah keputusan yang amat sukar.

Namun pelbagai kekangan termasuk ancaman keganasan, kesulitan besar menghantar bekalan, kurang kakitangan berpengalaman untuk mendapatkan sokongan mencukupi, selain ketidakpastian laluan keluar dari kem untuk rakan sekerja dan orang awam memaksa keputusan pengunduran itu.

Sejak awal Februari sahaja, MSF telah merawat 139 pesakit yang cedera akibat tembakan dan serpihan letupan, dengan 11 pesakit termasuk lima kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia di hospital MSF.

Mereka tidak dapat menerima rawatan sewajarnya di lokasi dan juga tidak boleh dirujuk ke satu-satunya hospital yang masih mempunyai keupayaan pembedahan di Al Fashir.

Sudan kini bergolak dengan perebutan kuasa berdarah sejak hampir dua tahun lalu antara pemerintah de facto Abdel-Fattah al-Burhan dan bekas timbalannya, Mohamed Hamdan Daglo.
Tentera Sudan bertempur dengan militia RSF pimpinan Daglo.

Walaupun tentera berjaya merampas kembali beberapa kawasan penting, khususnya di ibu negara Khartoum dan kawasan sekitarnya, RSF telah mengepung Al Fashir selama berbulan-bulan dan berulang kali menyerang kem pelarian berkenaan.

Menurut angka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), konflik itu menyebabkan lebih 12.5 juta orang kehilangan tempat tinggal.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini