GAZA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB mengecam operasi ketenteraan Israel yang menyasarkan hospital di Gaza termasuk Hospital Kamal Adwan yang kini tidak lagi berfungsi.
Badan itu berulang kali menyeru agar tempat-tempat ini dihormati sebagai kawasan selamat dengan orang ramai mendapatkan perlindungan dan bantuan perubatan.
Jurucakap bersekutu ketua PBB, Florencia Soto Nino juga mengulas penahanan Pengarah Hospital Kamal Adwan, Dr. Hussam Abu Safiya tidak wajar berlaku atas kapasitinya sebagai orang awam yang dalam usaha membantu orang ramai.
Justeru Nino merumuskan tiada lagi tempat atau situasi yang dijamin selamat di Gaza.
Tambahnya PBB bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menyokong usaha untuk memastikan keselamatan orang awam, termasuk pengarah hospital itu.
Memetik Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Nino berkata 10 pesakit dipindahkan dari Hospital Kamal Adwan, dengan empat daripada mereka ditahan Israel di ketika meninggalkan kawasan itu.
Nino juga menegaskan sekatan Israel terhadap bantuan kemanusiaan terus berlanjutan, mengakibatkan operasi bantuan lumpuh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.