Tumpuan :
Dunia

The 1975 batal konsert di Jakarta, Taiwan susulan kontroversi 

Foto : Reuters

JAKARTA : Persembahan kumpulan kontroversi, The 1975 yang dijadualkan berlangsung di Jakarta dan Taipei, Taiwan bulan ini dibatalkan.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan rasmi di akaun media sosial @WeTheFest dan @LiveNationTW.

“Kumpulan ini tidak pernah mengambil keputusan untuk membatalkan persembahan secara mudah kerana sudah lama tidak sabar untuk bermain untuk peminat di Jakarta dan Taipei.

“Tetapi malangnya, disebabkan keadaan semasa, adalah mustahil untuk meneruskan pertunjukan yang dijadualkan.

“Kami dengan sepenuh hati memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul. Live Nation Taiwan dan tixCraft akan mengeluarkan prosedur bayaran balik pada hari Isnin. Terima kasih atas pemahaman dan sokongan berterusan anda,” katanya.

Foto : we.the.fest / Instagram

Difahamkan, penampilan kumpulan United Kingdom itu dijadual berlangsung hari ini di Jakarta, manakala di Taiwan pada 25 Julai (Selasa).

Kerajaan Indonesia dan penganjur festival masih belum mengulas mengenai pembatalan itu.

Kelmarin, vokalis The 1975, Matty Healy mencetuskan kontroversi apabila memperlekeh undang-undang Malaysia terhadap LGBT, selain bertindak mencium mulut pemain bassnya, meminum arak di pentas, meludah dan memusnahkan dron milik penganjur di Good Vibes Festival 2023 (GVF).

Susulan itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil semalam mengumumkan pembatalan baki GVF yang sepatutnya berlangsung hingga hari ini.

Ia bukan insiden pertama melibatkan Healy, yang pernah mencium peminat lelaki pada konsert 2019 di Emiriah Arab Bersatu, yang juga mempunyai undang-undang anti-LGBTQ yang ketat.

Artikel berkaitan : The 1975 biadab di Malaysia, perlu tindakan tegas

Loading...
Terkini