BANGKOK: Thailand dan Vietnam bersetuju bekerjasama untuk menaikkan harga beras di pasaran global.
Persetujuan itu dibuat selepas perbincangan berbulan-bulan yang bertujuan memperbaiki pendapatan luar bandar.
Penasihat Menteri Pertanian Koperasi Thailand, Alongkorn Ponlaboot, dalam kenyataan berkata ini adalah kali pertama Thailand dan Vietnam bersetuju untuk bekerjasama dalam menaikkan harga beras di pasaran global.
Thailand dan Vietnam memulakan rundingan pada Mei lalu.
Jurucakap Thailand berkata, objektifnya adalah untuk menaikkan harga beras eksport dan meningkatkan pendapatan petani.
Kedua-dua negara menyumbang kira-kira 10 peratus daripada pengeluaran global beras kasar dan kira-kira 26 peratus daripada eksport global, menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, tidak diketahui dengan segera bila kenaikan harga itu akan berkuat kuasa.
Alongkorn berkata, ringkasan rundingan terbaharu dan syor untuk menaikkan harga bersama akan dibentangkan kepada menteri pertanian dari kedua-dua negara pada tarikh yang tidak ditentukan.
“Adakah matlamat itu akan tercapai atau tidak? Saya tidak boleh menjawab. Tetapi hari ini kami mengambil langkah pertama bersama sebagai rakan kongsi strategik dalam pertanian,” kata Alongkorn.
Persatuan Makanan Vietnam dan Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Vietnam tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan komen. – BERITA HARIAN