BANGKOK: Thailand menyambut kedatangan 32.7 juta pelancong antarabangsa antara 1 Jan dan 8 Dis 2024, menghasilkan kira-kira 1.535 trilion baht (100 Baht = RM13.12) dalam pendapatan pelancongan, menurut Menteri Pelancongan dan Sukan Sorawong Thianthong.
Beliau berkata sepanjang 2 hingga 8 Dis, negara itu mencatatkan 699,129 ketibaan pelancong antarabangsa dengan purata 99,876 pengunjung setiap hari.
Walaupun ia menunjukkan penurunan sedikit iaitu sebanyak 1.03 peratus berbanding minggu sebelumnya, lonjakan ketibaan pelancong Malaysia membantu mengimbangi penurunan dari pasaran lain.
“Ketibaan pelancong Malaysia melonjak sebanyak 24.58 peratus kepada 79,386, didorong oleh keadaan perjalanan yang semakin baik selepas banjir baru-baru ini di Daerah Hat Yai dan tiga wilayah sempadan selatan iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat,” menurutnya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
Sorawong berkata pasaran utama lain untuk minggu itu termasuk China (111,468 pengunjung), Rusia (47,893), India (46,094) dan Korea Selatan (37,823). Bagaimanapun, ketibaan dari China, Korea Selatan, India dan Rusia menunjukkan penurunan sedikit.
Beliau berkata berlaku sedikit peningkatan dalam pasaran jarak jauh, terutamanya dari negara Scandinavia, termasuk Sweden, Norway dan Finland.
Melangkah ke hadapan, kementerian menjangkakan peningkatan ketibaan antarabangsa yang didorong oleh beberapa faktor, termasuk musim puncak perjalanan untuk pelancong Eropah dan peningkatan kapasiti tempat duduk penerbangan.
Beliau berkata penerbangan ke Thailand meningkat sebanyak 10 peratus dari Julai hingga akhir tahun ini.
“Inisiatif kerajaan, seperti menghapuskan keperluan borang imigresen TM6 di sempadan darat dan mempromosikan frekuensi penerbangan yang lebih tinggi, dijangka meningkatkan lagi kemudahan perjalanan,” kata Sorawong.
Setakat 9 Dis, China kekal sebagai pasaran sumber pelancong terbesar Thailand, dengan 6.3 juta pengunjung, diikuti Malaysia (4.6 juta), India (1.96 juta), Korea Selatan (1.72 juta) dan Rusia (1.55 juta).
Menurut Sorawong lagi, pemulihan kukuh pasaran jarak pendek, terutamanya dari Malaysia yang bersempadan, mencerminkan keberkesanan usaha pemulihan pelancongan yang sedang dijalankan. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.