comscore
Tumpuan :
Dunia

Thailand dipilih anggotai Majlis Hak Asasi Manusia PBB 2025-2027

Foto fail Reuters

VIENTIANE: Thailand dipilih menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk penggal 2025-2027, satu peranan yang menurut Kementerian Luar Negeri Thailand, sangat dihargai oleh negara terbabit.

“Pemilihan ini mengukuhkan pengaruh dan tanggungjawab Thailand yang semakin meningkat dalam mempromosikan hak asasi manusia dan kerjasama di peringkat global,” kata Kementerian Luar Thailand dalam satu kenyataan pada Khamis.

Negara gajah putih itu turut merakamkan penghargaan kepada negara-negara anggota PBB lain, terutamanya negara-negara ASEAN atas sokongan dan keyakinan mereka terhadap keupayaan Thailand untuk menyumbang di peringkat antarabangsa.

“Thailand berjanji untuk berperanan sebagai pembina jambatan dalam Majlis, memupuk dialog dan konsensus di kalangan negara-negara yang mempunyai pandangan yang pelbagai.

“Negara ini merancang untuk memanfaatkan pendirian progresifnya dalam isu-isu hak asasi manusia, sambil menghormati perbezaan sosial, agama, dan budaya negara-negara membangun,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar juga memaklumkan bahawa negara itu bercadang untuk berkongsi amalan terbaik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam bidang seperti Perlindungan Kesihatan Sejagat dan Pendidikan untuk Semua dengan negara anggota lain.

Di samping itu, Thailand turut komited untuk menerapkan piawaian hak asasi manusia antarabangsa yang disesuaikan dengan konteks negara.

Thailand merupakan satu daripada 18 negara baharu yang dipilih melalui sesi undian sulit pada Rabu untuk berkhidmat dalam Majlis Hak Asasi Manusia yang mempunyai 47 ahli bagi penggal tiga tahun, bermula 1 Januari 2025.

Negara-negara lain yang terpilih termasuk Benin, Bolivia, Colombia, Cyprus, Czechia, Republik Demokratik Congo, Ethiopia, Gambia, Iceland, Kenya, Kepulauan Marshall, Mexico, Macedonia Utara, Qatar, Korea Selatan, Sepanyol dan Switzerland. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini