BANGKOK: Thailand menerima kedatangan 17.5 juta pelancong asing dan menjana pendapatan kira-kira 825.541 bilion baht (RM106.22 bilion) bagi separuh pertama tahun ini.
Statistik Kementerian Pelancongan dan Sukan menunjukkan, dari Januari hingga Jun tahun ini, pelancong China menduduki senarai teratas dengan 3.43 juta, diikuti Malaysia (2.43 juta) dan India (1.04 juta) dalam tempoh sama.
Menteri Pelancongan dan Sukan Sermsak Pongpanit berkata kelonggaran langkah perjalanan oleh kerajaan, seperti perjanjian pengecualian visa antara Thailand dan China, meningkatkan keyakinan perjalanan dan dasar bebas visa untuk pelancong dari India, Taiwan dan Kazakhstan, akan memudahkan perjalanan.
Sermsak berkata pengecualian kad TM6 bagi lintasan darat di lapan pusat pemeriksaan bagi pelancong Malaysia dan Laos, meningkatkan kedatangan pelancong.
“Jumlah pelawat yang masuk dijangka terus meningkat dalam minggu-minggu akan datang, didorong oleh faktor seperti trend pelancongan yang dipengaruhi selebriti, musim cuti musim panas yang berterusan di Eropah dan inisiatif kelonggaran perjalanan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Thailand telah menetapkan sasaran untuk menarik sekurang-kurangnya 40 juta pelawat asing tahun ini, sama seperti angka prapandemik yang direkodkan pada 2019.
Ia telah mengunjurkan pendapatan sebanyak tiga trilion baht daripada pelancong domestik dan asing menjelang akhir tahun ini.
Sementara itu, dilaporkan oleh media tempatan Thailand bahawa Kabinet pada Selasa mengesahkan semua kedai bebas cukai di kawasan ketibaan lapangan terbang Thailand akan ditutup, untuk meningkatkan perbelanjaan di kedai-kedai domestik, bertujuan untuk menjana sehingga 350 bilion baht setiap tahun.
Tiga pengendali bebas cukai menjana pendapatan 3.02 bilion baht tahun lepas di lapan lapangan terbang antarabangsa Thailand, menurut Pejabat Kastam.
Kedai bebas cukai yang akan ditutup melibatkan lapangan terbang di Suvarnabhumi, Don Mueang, Chiang Mai, Phuket, Hat Yai, U-Tapao, Samui dan Krabi. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa