BANGKOK: Thailand akan melaksanakan program perlindungan kesihatan sejagat yang dinaik taraf di seluruh negara mulai Januari 20, kata Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra pada Rabu, lapor Xinhua.
Bercakap pada majlis pelancaran, Paetongtarn berkata fasa terakhir program itu akan menyediakan perlindungan penuh kesihatan di semua 77 wilayah, menandakan pencapaian transformasi digital untuk sistem penjagaan kesihatan negara Asia Tenggara itu, di mana rakyat dapat mengakses perkhidmatan yang berpatutan dan cekap.
Menurut beliau, dengan ID kesihatan peribadi, rakyat kini mempunyai akses yang lebih pantas kepada perkhidmatan perubatan, berkat inovasi termasuk rujukan digital, konsultasi doktor secara dalam talian dan perkhidmatan penghantaran ubat.
Paetongtarn berkata melalui tempahan janji temu dalam talian, pesakit tidak lagi perlu beratur panjang atau menghabiskan masa seharian di hospital.
Perdana Menteri juga menggariskan matlamat strategik kesihatan untuk 2025 yang memberi tumpuan kepada penjagaan warga emas, pencegahan penyakit, perkhidmatan kesihatan mental, pemulihan ketagihan, serta kebolehsampaian yang dipertingkatkan.-BERNAMA-XINHUA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.