Tumpuan :
Dunia

Texas saman TikTok kerana langgar privasi kanak-kanak

Foto hiasan

TEXAS: Peguam negeri Texas, Ken Paxton, telah mengemukakan saman terhadap platform media sosial popular, TikTok, pada Khamis.

Ia atas dakwaan melanggar privasi kanak-kanak dengan berkongsi maklumat peribadi tanpa kebenaran ibu bapa atau penjaga sah.

Tindakan undang-undang itu juga menuduh TikTok melanggar undang-undang negeri yang bertujuan untuk melindungi keselamatan kanak-kanak dalam talian.

Saman yang difailkan di Mahkamah Galveston County oleh Paxton meminta injuksi serta denda sehingga AS$10,000 (RM47,000) bagi setiap pelanggaran Akta Securing Children Online through Parental Empowerment (SCOPE), sebuah undang-undang yang diperkenalkan untuk memastikan hak privasi kanak-kanak di Texas.

Menurut Paxton, TikTok, yang dimiliki oleh syarikat ByteDance dari China, gagal menyediakan perlindungan yang mencukupi untuk mengawal akaun kanak-kanak, serta membiarkan maklumat daripada akaun yang diaktifkan sebagai privasi dikongsi tanpa sekatan.

“TikTok dan syarikat teknologi besar lain mesti bertanggungjawab atas eksploitasi terhadap kanak-kanak di Texas dan kegagalan untuk mengutamakan keselamatan serta privasi mereka dalam talian,” kata Paxton dalam satu kenyataan.

Pada tahun 2019, TikTok dikenakan denda sebanyak AS$5.7 juta (RM26.8 juta) oleh Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat (FTC) kerana melanggar Akta Perlindungan Privasi Kanak-Kanak Dalam Talian (COPPA), yang melarang pengumpulan data kanak-kanak di bawah umur 13 tahun tanpa kebenaran ibu bapa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini