comscore
Tumpuan :
Dunia

Tetap perang selepas gencatan senjata sementara – Netanyahu

Netanyahu berkata, serangan akan diteruskan di Semenanjung Gaza selepas cadangan gencatan senjata sementara. – Foto: Reuters

BAITULMAQDIS : Tanpa menghiraukan desakan dunia, Israel memberi amaran akan meneruskan serangannya di Semenanjung Gaza, selepas cadangan gencatan senjata sementara.

Kenyataan angkuh Perdana Menterin, Benjamin Netanyahu itu dilaporkan Agensi Anadolu.

“Kami sedang berperang, dan perang akan berterusan sehingga semua matlamat kami tercapai,” kata Netanyahu dalam ucapan menjelang mesyuarat Kabinet.

Mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan cadangan perjanjian tebusan dan gencatan senjata empat hari dengan kumpulan Palestin Hamas yang berpangkalan di Gaza.

“Di hadapan kami adalah keputusan yang sukar tetapi tepat,” kata Netanyahu mengenai perjanjian itu.

Menurut media tempatan, perjanjian termasuk pertukaran 50 warga Israel yang dipegang oleh Hamas sebagai balasan kepada pembebasan 150 warga Palestin di penjara Israel.

“Kami tidak akan berehat sehingga semua orang dikembalikan.

“Peperangan mempunyai peringkat dan pemulangan tebusan akan ada peringkat,” tambah Netanyahu.

Israel menganggarkan  sekurang-kurangnya 239 rakyatnya ditahan oleh Hamas berikutan serangan rentas sempadan pada 7 Oktober lalu.

Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di Semenanjung Gaza yang mengakibatkan lebih 14,128 rakyat Palestin terbunuh termasuk 5,840 kanak-kanak dan 3,920 wanita.

Manakala, beribu-ribu bangunan, termasuk hospital, masjid, dan gereja, juga rosak atau musnah. – AGENSI

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini