comscore
Tumpuan :
Dunia

Tentera Zionis alami kekalahan paling teruk sejak Oktober

Tentera Israel bersiap sedia untuk memasuki Semenanjung Gaza, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas. FOTO: NSTP

GAZA: Israel mengumumkan kekalahan pertempuran paling teruknya selama lebih sebulan hari ini selepas serangan di Bandar Gaza, dan berdepan pengasingan diplomatik yang semakin meningkat apabila kematian orang awam meningkat serta bencana kemanusiaan bertambah buruk.

Pertempuran sengit sedang berlaku di utara dan selatan Gaza, sehari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata, pengeboman ‘secara sembarangan’ Israel terhadap orang awam menjejaskan sokongan antarabangsa.

Pesawat perang sekali lagi mengebom Gaza dan pegawai bantuan berkata, kedatangan hujan musim sejuk memburukkan lagi keadaan bagi ratusan ribu orang yang tinggal di khemah sementara.

APC Tentera Israel bersiap sedia untuk memasuki Semenanjung Gaza. FOTO: Reuters

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, sekurang-kurangnya 18,608 orang terbunuh dan 50,594 lagi cedera dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober. Sebahagian besar 2.3 juta penduduk Gaza juga kehilangan tempat tinggal.

Tentera Israel berkata, 115 askarnya terbunuh setakat ini dalam perang di Semenanjung Gaza, termasuk 10 hari sebelumnya iaitu angka yang besar dalam satu pertempuran. Sepuluh kematian direkodkan pada Selasa.

Menurut senarai rasmi tentera yang terkorban, sembilan daripadanya terbunuh pada Selasa membabitkan unit yang menurut jurucakap tentera terbabit dalam pertempuran sengit di Shejaiya. Dua daripada mereka yang terbunuh dalam pertempuran itu adalah pegawai kanan.

“Petang semalam sepasukan pejuang Golani (briged) memasuki sebuah bangunan, di mana mereka diserang dengan tembakan yang kuat dan bertempur dengan pejuang Hamas,” kata jurucakap Daniel Hagari.

“Lebih banyak pasukan briged, dibantu oleh unit penyelamat 669 tentera udara menyerbu bangunan itu untuk menyelamatkan mereka,” kata jurucakap Daniel Hagari.

Seorang lagi pegawai tentera berkata, bahawa Shejaiya, sebuah daerah di Bandar Gaza, adalah kubu kuat Hamas dan rumah kepada kompleks bangunan saling berkait yang mengandungi simpanan senjata.

Menerusi satu kenyataan di televisyen, pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh berkata, sebarang perancangan ke atas Gaza tanpa melibatkan Hamas adalah suatu khayalan.

“Semakin lama tentera rejim berada di bumi Gaza, semakin bertambah jumlah kematian dan kehilangan nyawa, dan ia akan berakhir dengan rantaian kekecewaan serta kerugian, insya-Allah.” – AGENSI

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini