KHARTOUM: Angkatan Tentera Sudan bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama tujuh hari – yang dicadangkan oleh Pihak Berkuasa Antara Kerajaan Mengenai Pembangunan (IGAD) di Afrika Timur bermula 4 hingga 11 Mei.
Media Sputnik melaporkan, angkatan tentera menyatakan persetujuan terhadap cadangan (IGAD), berdasarkan prinsip penyelesaian Afrika kepada masalah benua serta mengambil kira aspek kemanusiaan.
Menurut kenyataan sama, Tentera Sudan juga mempertimbangkan inisiatif gencatan senjata Amerika Syarikat-Arab Saudi, selain berharap Rapid Support Forces akan menghormati gencatan senjata yang dicadangkan.
Pada Selasa, Kementerian Luar Sudan Selatan memaklumkan pemimpin angkatan bersenjata Sudan dan Rapid Support Forces (RSF) bersetuju dengan gencatan senjata dari 4 hingga 11 Mei.
Menurut kenyataan itu, Ketua Komander Tentera Sudan, Jeneral Abdel Fatah Al Burhan dan pemimpin RSF Mohamed Hamdan Dagalo bersetuju untuk menamakan wakil mereka bagi memulakan rundingan.
Bagaimanapun, Yusuf Izzat, penasihat kepada pemimpin RSF Mohamed Hamdan Dagalo, berkata RSF belum bersetuju dengan gencatan senjata, namun menegaskan tidak menolak langkah terbabit dan mengalu-alukan semua inisiatif yang bertujuan menyelesaikan konflik dalaman di Sudan.
Pergolakan tercetus antara pasukan tentera Sudan dan RSF di Khartoum serta kawasan sekitar sejak 15 April lalu.
Meskipun pihak berkenaan telah melaksanakan beberapa gencatan senjata sementara, namun pelanggaran terhadapnya sering kali dilakukan.
Menurut Kementerian Kesihatan Sudan, sekurang-kurangnya 550 orang terbunuh dengan hampir 5,000 cedera setakat ini.