KAOHSIUNG: Tentera laut Taiwan menguji keupayaan pertahanannya pada Khamis (9 Januari) dalam tiga hari latihan ketenteraan yang menyaksikan kapal perang terbaharu dan paling canggih mengetuai armada ke Selat Taiwan.
Di Pangkalan Tentera Laut Zuoying di bandar selatan Kaohsiung, salah satu kapal perang kecil atau korvet kelas Tuo Chiang Taiwan sepanjang kira-kira 65 meter mengetuai flotilla bot peluru berpandu yang lebih kecil ke laut, dalam satu latihan simulasi pergerakan pertahanan yang agresif untuk menentang sebarang ancaman daripada kapal musuh.
Korvet Tuo Chiang buatan Taiwan digelar oleh tentera laut Taiwan sebagai “pembunuh kapal induk” kerana persenjataan peluru berpandu anti-kapal dan anti-pesawatnya.
Dengan reka bentuknya, kapal-kapal itu sangat mudah dikendalikan selain bertujuan untuk membawa kapal perang yang lebih besar semasa melakukan operasi berhampiran dengan pantai Taiwan.
China, yang menganggap Taiwan yang ditadbir secara demokratik sebagai wilayahnya sendiri, menghantar tentera udara dan tentera lautnya ke ruang udara dan perairan berhampiran pulau itu setiap hari disifatkan oleh kerajaan Taiwan sebagai kempen tekanan yang berterusan.
Tahun lalu, Beijing dilapor melakukan pencerobohan di ruang udara dan perairan di sekitar Taiwan. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.