Tumpuan :
Dunia

Tentera Korea Selatan tersilap gugurkan bom di kawasan awam

Foto: Reuters

SEOUL: Sekurang-kurangnya 15 orang awam cedera pada Khamis selepas sebuah jet pejuang Korea Selatan secara tidak sengaja menggugurkan lapan bom di kawasan penempatan awam.

Bom yang tersasar ketika latihan ketenteraan menggunakan peluru hidup itu jatuh di Pocheon, Korea Selatan, merosakkan beberapa rumah serta sebuah gereja.

“Kami amat kesal dengan insiden ini yang mengakibatkan kecederaan orang awam dan berharap mereka yang terjejas segera pulih,” kata Tentera Udara Korea Selatan dalam satu kenyataan.

Susulan kejadian itu, pihak tentera menubuhkan jawatankuasa khas bagi menjalankan siasatan lanjut serta berjanji akan mengambil segala langkah perlu, termasuk memberikan pampasan terhadap sebarang kerosakan.

Difahamkan, kesilapan berlaku ketika pesawat KF-16 Tentera Udara Korea Selatan melepaskan lapan bom jenis MK-82 seberat 500 paun (225 kilogram), menyebabkan ia tersasar dari sasaran yang ditetapkan.

Menurut Pegawai Perkhidmatan Bomba Gyeonggi-do Bukbu, empat daripada 15 mangsa mengalami kecederaan serius.

Pihak bomba mengesyaki peluru yang tersasar itu berpunca daripada latihan ketenteraan bersama yang sedang berlangsung antara Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).

“Jet pejuang mungkin tersilap melepaskan tembakan semasa latihan dijalankan,” katanya.

Pocheon terletak kira-kira 40 kilometer (km) di timur laut Seoul dan hanya 25 km dari sempadan ketat antara Korea Selatan dan Korea Utara.

Setakat ini, Kementerian Pertahanan Korea Selatan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai insiden itu.

Terdahulu, kementerian memaklumkan bahawa pasukan tentera Korea Selatan dan AS sedang menjalankan latihan ketenteraan bersama menggunakan peluru hidup sebagai sebahagian daripada latihan tahunan Freedom Shield yang dijadualkan bermula minggu depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini