KAHERAH: Serangan udara Israel di seluruh Gaza mengorbankan sekurang-kurangnya 34 rakyat Palestin sepanjang malam tadi dan hari ini, kata petugas perubatan, ketika kereta kebal Israel mara ke kawasan di bahagian tengah dan selatan wilayah terbabit.
Pada waktu malam, serangan udara Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 25 orang di Beit Hanoun di utara Gaza, tempat di mana tentera Israel beroperasi sejak Oktober dan mencederakan puluhan yang lain di dalam sebuah bangunan bertingkat, menurut petugas perubatan.
Satu lagi serangan udara di sebuah rumah di kem pelarian Nuseirat di tengah Jalur Gaza membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang.
Beberapa orang lagi cedera, sementara satu lagi serangan membunuh dua orang di Rafah, di selatan wilayah berkenaan.
Di bandar Deir Al-Balah di tengah Gaza, tentera laut Israel menahan enam nelayan Palestin yang cuba belayar ke Laut Mediterranean awal hari ini, menurut penduduk.
Pejuang Muslim yang dipimpin Hamas membunuh kira-kira 1,200 orang dan membawa lebih 250 tebusan kembali ke Gaza apabila mereka menyerang Israel pada 7 Oktober 2023, menurut angka dari Israel.
Lebih 44,700 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan susulan Israel di Gaza, kata pihak berkuasa kesihatan Gaza. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.