Tumpuan :
Dunia

Tentera Israel berdepan tuduhan kes jenayah perang di Sweden

SWEDEN: Kes terhadap Boaz Ben David, seorang tentera Israel yang didakwa terlibat dalam jenayah perang di Gaza, telah dikemukakan ke mahkamah Sweden, menurut Yayasan Hind Rajab.

“Aduan yang difailkan kepada pihak berkuasa Sweden mendakwa Ben David melakukan jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan kemungkinan tindakan pembunuhan beramai-ramai semasa operasi ketenteraan baru-baru ini di Gaza,” kata yayasan itu dalam satu kenyataan.

“Tindakan ini susulan daripada seruan antarabangsa yang semakin meningkat untuk memastikan pelaku jenayah berat diadili dan memastikan keadilan bagi mangsa pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza.”

Menurut yayasan itu, Ben David – seorang sarjan staf dan penembak tepat – kini berada di Sweden sebagai pelancong tetapi mungkin akan meninggalkan negara itu tidak lama lagi.

“Bukti yang dikemukakan bersama aduan kepada Unit Kebangsaan Menentang Jenayah Antarabangsa dan Terancang di Sweden termasuk gambar, video dan keterangan saksi, yang disokong oleh laporan dari organisasi hak asasi manusia antarabangsa dan wartawan berwibawa,” kata yayasan itu.

Yayasan Hind Rajab yang berpusat di Belgium mengambil tindakan undang-undang untuk mencari keadilan bagi mangsa Palestin yang menjadi korban keganasan Israel. – AL JAZEERA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini