Tumpuan :
Dunia

Tentera AS sahkan pengunduran tentera Israel di selatan Lubnan

Duta AS, Amos Hochstein, berucap semasa lawatannya di Beirut, 6 Januari 2025. FOTO: Reuters

LUBNAN: Duta Amerika Syarikat (AS), Amos Hochstein, mengesahkan bahawa tentera Israel telah memulakan pengunduran dari Naqura di selatan Lubnan pada semalam, iaitu lebih separuh daripada tempoh gencatan senjata antara Israel dan kumpulan Hizbullah.

Ia adalah pengunduran kedua sejak gencatan senjata pada 27 November 2024, selepas pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati, Disember tahun lalu mendesak tentera Israel mempercepatkan pengunduran mereka dari selatan Lubnan.

“Tentera Israel telah memulakan pengunduran mereka dari Naqura dan kembali ke Israel hari ini (semalam), ke arah selatan Garisan Biru,” kata Hochstein kepada pemberita, merujuk kepada sempadan yang ditetapkan PBB antara kedua-dua negara.

“Pengunduran itu akan berterusan sehingga semua tentera Israel meninggalkan Lubnan sepenuhnya, seiring dengan penempatan tentera Lubnan ke selatan dan sehingga ke Garisan Biru,” tambahnya selepas bertemu dengan Speaker Parlimen, Nabih Berri, sekutu kepada kumpulan Hizbullah yang disokong Iran.

“Saya tidak melihat sebarang sebab mengapa semua pihak tidak terus komited melaksanakan perjanjian yang telah dipersetujui,” katanya selepas bertemu dengan Najib Mikati dan susulan tuduhan daripada Israel dan Hizbullah mengenai pelanggaran perjanjian oleh pihak lawan.

September lalu, Israel meningkatkan serangan pengebomannya dan menghantar tentera ke Lubnan selepas hampir setahun berlaku tembakan merentasi sempadan susulan perang di Gaza.

Di bawah syarat-syarat gencatan senjata yang diusahakan Hochstein, tentera Lubnan akan dikerahkan bersama pasukan pengaman PBB di selatan Lubnan, sementara tentera Israel berundur dalam tempoh 60 hari.

Hizbullah pula dikehendaki menarik pasukannya ke utara Sungai Litani kira-kira 30 kilometer dari kawasan sempadan serta membongkar infrastruktur ketenteraan yang masih ada di selatan Lubnan.

Dalam pada itu, Mikati dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyeru supaya jadual waktu yang jelas perlu disediakan untuk menyelesaikan pengunduran Israel sebelum tempoh 60 hari tamat.

Kenyataan itu juga menegaskan bahawa sebarang khabar mengenai hasrat Israel untuk melanjutkan tempoh gencatan senjata adalah ditolak sekeras-kerasnya.

Tentera Lubnan menyatakan bahawa pihaknya sudah ditempatkan di sekitar bandar Naqura dan mula dikerahkan di kawasan itu dengan kerjasama Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL).-AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini