Tumpuan :
Dunia

Tembakan rambang ketika pembukaan hospital, 3 maut termasuk wartawan

PORT-AU-PRINCE: Tiga orang terbunuh manakala beberapa lagi cedera apabila lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah sekumpulan wartawan sebelum sidang akhbar Kerajaan mengenai pembukaan semula hospital awam terbesar di Haiti.

Salah seorang wartawan di lokasi kejadian memaklumkan, dua wartawan dan seorang pegawai polis terbunuh dalam insiden itu.

Satu rakaman video memaparkan sekumpulan wartawan meniarap ketakutan sebelum memanjat tembok meninggalkan lokasi selepas kejadian.

Geng bersenjata di ibu kota Haiti, yang hampir menguasai sepenuhnya Port-au-Prince dan mempunyai kawalan yang luas di seluruh negara, mensasarkan hospital untuk menunjukkan kuasa mereka terhadap Kerajaan sekali gus memaksa banyak hospital ditutup.

Sebelum itu, sekumpulan wartawan hadir ke hospital berkenaan untuk satu sidang akhbar bersama Menteri Kesihatan baharu Haiti, Dr Duckenson Lorthe Blema sebelum tembakan dilepaskan sekitar jam 11 pagi.

Hospital Universiti Negeri Haiti adalah hospital awam terbesar di negara itu namun terpaksa ditutup sejak peningkatan serangan geng bersenjata pada bulan Mac lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini