TEHRAN: Satu upacara perarakan jenazah Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan mangsa nahas helikopter Ahad lalu, diadakan di ibu kota Iran, Tehran semalam, lapor Agensi Berita Iran (IRNA).
Rakyat Iran dari seluruh pelosok negara berhimpun di Tehran bagi menyertai upacara perarakan jenazah presiden dan mangsa-mangsa nahas helikopter itu.
Penyokong Revolusi Islam membanjiri jalan-jalan di ibu kota untuk memberi penghormatan terakhir kepada Raisi dan pegawai-pegawai lain yang terkorban dalam nahas helikopter pada 19 Mei di barat laut Iran.
Dengan laungan, ‘Hari ini adalah hari berkabung’, lautan manusia itu melahirkan ucapan takziah atas pemergian presiden dan rombongannya.
Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei mengetuai solat jenazah di Universiti Tehran pada pagi semalam sebelum perarakan jenazah di ibu kota.
Lebih 40 delegasi asing berpangkat tinggi akan menyertai upacara pada petang Rabu bagi memperingati kematian Presiden Raisi dan rombongannya.
Presiden Iran, Raisi bersama Menteri Luar, Hossein Amirabdollahian dan pegawai-pegawai Iran lain berada dalam penerbangan pulang daripada majlis perasmian empangan di sempadan Iran dengan Azerbaijan pada Ahad apabila helikopter mereka terhempas di kawasan pergunungan di Wilayah Varzaghan.
Semua yang berada di dalam helikopter berkenaan terkorban dalam nahas itu. – BERNAMA-IRNA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Malaysia berdukacita di atas tragedi menimpa Presiden Iran dan delegasi kepemimpinan Iran – PM
- Kerajaan Iran adakan mesyuarat tergempar susulan kematian Presiden Ebrahim Raisi
- Helikopter membawa Presiden Iran terhempas
- SAR helikopter dinaiki Presiden Iran masih berjalan
- Lokasi helikopter Raisi terhempas ditemui, keadaan ‘tidak baik’
- Helikopter ditemui terhempas, Presiden Iran dikhuatiri maut
- Presiden Iran, menteri luar terkorban dalam insiden helikopter terhempas
- Jenazah Presiden Iran dan mangsa lain dibawa ke Tabriz
- Pilihan Raya Presiden Iran ditetapkan 28 Jun