LOS ANGELES: Bintang terkenal Amerika Syarikat (AS) Taylor Swift menyumbang sebanyak US$5 juta bagi membantu mangsa taufan pulih dan membina semula kehidupan mereka selepas taufan memusnahkan wilayah tenggara AS, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Taufan Milton melanda pantai barat Florida pada malam Rabu, menyusul hanya beberapa minggu selepas kemusnahan akibat Taufan Helene, menurut Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat.
“Sumbangan ini akan membantu masyarakat membina semula kehidupan mereka, menyediakan makanan, air bersih dan bekalan penting kepada mereka yang terjejas oleh ribut yang dahsyat ini.
“Terima kasih, Taylor kerana bersama kami dalam usaha menamatkan kelaparan dan membantu komuniti yang memerlukan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Feeding America, Claire Babineaux-Fontenot dalam satu kenyataan di platform X.
Sumbangan itu menyusul selepas bintang muzik AS, Dolly Parton menyumbang US$1 juta kepada Mountain Ways Foundation bagi memberikan bantuan segera kepada mangsa banjir yang terjejas akibat Taufan Helene.
Penyanyi berusia 34 tahun itu mempunyai sejarah menyokong usaha kutipan dana, termasuk menyumbang kepada 1,400 bank makanan Trussell di Edinburgh, Liverpool, Cardiff, dan London – bandar-bandar yang menjadi lokasi jelajah rekodnya, Eras Tour, pada musim panas ini.
Penyanyi lagu “Anti-Hero” itu juga baru-baru ini menyumbangkan US$100,000 kepada kutipan dana untuk keluarga seorang wanita yang terkorban dalam insiden tembakan rambang semasa perayaan Super Bowl pasukan Kansas City Chiefs.
— BERNAMA-dpa
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.