comscore
Tumpuan :
Dunia

Taufan Yagi landa wilayah Hainan, China

FOTO: Reuters

HAIKOU: Taufan Yagi, taufan ke-11 tahun ini, melanda wilayah Hainan di selatan China pada petang Jumaat, menurut ibu pejabat pengurusan kecemasan wilayah.

Taufan dengan kelajuan melebihi 234 kilometer (km) sejam melanda kawasan pantai di Perkampungan Wengtian, Bandar Wenchang pada 4.20 petang waktu tempatan.

Hujan lebat melanda kebanyakan kawasan, manakala bahagian utara Hainan dilanda angin kencang, sementara beberapa bandar dan daerah mengalami gangguan bekalan elektrik.

Menurut biro meteorologi wilayah, Taufan Yagi dijangka bergerak menuju Haikou serta daerah Chengmai dan Lingao, sebelum ke Teluk Beibu pada pagi Sabtu.

Terdahulu, seramai 419,367 penduduk dipindahkan dari Hainan setakat 11.30 pagi Jumaat, ketika taufan Yagi menghampiri wilayah terbabit.

Biro itu turut memaklumkan bahawa paras air laut dijangka meningkat 150 hingga 230 sentimeter (cm) di kawasan pantai utara Pulau Hainan, manakala Haikou dijangka mengalami banjir besar akibat ribut dan hujan lebat.

Operasi di beberapa lokasi pelancongan dihentikan buat sementara waktu dan kawalan trafik dilaksanakan di wilayah berkenaan. – BERNAMA-XINHUA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini