SEOUL: Dua orang ditemui mati, manakala 10 lagi hilang selepas Taufan Hinnamnor melanda Korea Selatan.
Laporan itu dikeluarkan ibu pejabat pusat bencana dan keselamatan kebangsaan negara berkenaan.
Taufan Hinnamnor merupakan taufan yang ke-11 melanda negara itu tahun ini, dan kebanyakan mangsa terjejas dilaporkan berasal dari tenggara.
Seorang wanita berusia 70-an ditemui mati di Pohang, kira-kira 270 kilometer dari tenggara ibu kota Seoul, akibat dihanyutkan air deras.
Seorang lagi wanita berusia 80-an dijumpai mati tertimbus dalam runtuhan di Gyeongju, kira-kira 280 km tenggara Seoul.
Sementara itu, lapan mangsa dilaporkan hilang selepas cuba mengalihkan kenderaan di parkir kereta bawah tanah di Pohang.
Di Ulsan pula, seorang lelaki 25 tahun hilang selepas terjatuh ke dalam sungai.
Setakat ini, lapan bangunan komersial dan 71 kediaman dinaiki air di seluruh negara, manakala empat rumah musnah sepenuhnya.
Lapan kejadian tanah runtuh dilaporkan dan lebih 200 infrastruktur awam rosak.
Lebih 66,000 kediaman mengalami gangguan bekalan elektrik, manakala lebih 2,900 orang, kebanyakannya tinggal di wilayah tenggara, telah dipindahkan buat sementara waktu.