
SICHUAN: Operasi mencari dan menyelamat susulan tanah runtuh di Junlian, Wilayah Sichuan, China dipergiat dengan satu mayat ditemui, manakala 28 lagi masih hilang.
Pasukan penyelamat berjaya memindahkan kira-kira 360 penduduk dan menyelamatkan dua orang yang cedera dari runtuhan.
Tanah runtuh itu menimbus 10 buah rumah dan sebuah kilang, dengan aliran runtuhan sepanjang 1.2 kilometer melebihi 100 ribu meter padu.
Hujan lebat berterusan dan keadaan geologi tempatan dikenal pasti sebagai punca utama kejadian.
Hampir 1,000 anggota penyelamat dikerahkan dengan menggunakan dron dan radar pengesan hayat, namun hujan berterusan dan risiko tanah runtuh susulan menyukarkan operasi.
Penekanan operasi diberikan kepada penilaian saintifik bagi memastikan keselamatan penyelamat dan penduduk.
Kerajaan China telah memperuntukkan 80 juta yuan atau kira-kira 52 juta ringgit untuk menyokong usaha bantuan dan pemulihan bencana.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.