PEKALONGAN: Angka korban akibat tanah runtuh di Pekalongan, Jawa Tengah, Indonesia meningkat kepada 21 mangsa, termasuk seorang bayi lelaki berusia 5 bulan.
Usaha pencarian lima lagi mangsa yang dilaporkan hilang diteruskan pada hari ketiga.
Memetik media tempatan pasukan pencarian memulakan operasi pada jam 8 pagi waktu tempatan.
Ketua agensi mencari dan menyelamat (Basarnas) Semarang, Budiono berkata jumlah anggota pasukan penyelamat ditingkatkan termasuk bantuan daripada sukarelawan dan penduduk kampung.
Operasi berkenaan berdepan cabaran berikutan cuaca tidak menentu, selain laluan ke lokasi kejadian yang rosak.
Mayat mangsa yang ditemui bawah runtuhan sehingga 4.7 kilometer daripada lokasi tanah runtuh.
Pihak berkuasa menjangkakan lebih ramai mangsa selain yang dilaporkan hilang.
Sementara itu, Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) mengeluarkan amaran cuaca ekstrem melibatkan hujan lebat serta angin kencang yang diramal di beberapa wilayah di Jawa Tengah, bermula hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.