Tumpuan :
Dunia

Tanah Runtuh Acheh: Usaha mencari 3 lagi mangsa hilang

JAKARTA: Seramai dua mangsa kejadian tanah runtuh di jalan Sumatera-Aceh di Bandar Subulussalam, Wilayah Aceh Jumaat lalu berjaya diselamatkan manakala tiga lagi masih hilang.

Kejadian di Jalan Lintas Medan berhampiran Kampung Lae Ikan dalam daerah Penanggalan itu dilaporkan berlaku berikutan hujan lebat pada kira-kira pukul 8 malam waktu tempatan.

Menurut jurucakap agensi mitigasi bencana daerah (BPBD) tempatan, Cut Anita tiga individu yang hilang itu ialah dua orang awam dan seorang pegawai polis dari Penanggalan.

“Usaha mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang hilang ini diteruskan di bawah penyelarasan BPBD Subulussalam,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Serpihan tanah runtuh yang menghalang jalan telah dibersihkan manakala pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati semasa memandu ketika cuaca hujan kerana risiko tanah runtuh.

Berdasarkan ramalan cuaca agensi meteorologi (BMKG) pada Ahad, cuaca di bandar itu dijangka mendung.
Bagaimanapun, hujan lebat diramalkan pada sebelah petang dengan potensi ribut petir pada sebelah malam.

Agensi itu juga menggesa pihak berkuasa tempatan dan penduduk supaya sentiasa berwaspada kerana potensi hujan lebat yang boleh mengakibatkan banjir, banjir kilat dan tanah runtuh.

Loading...
Terkini