BALI: Lima pekerja di sebuah resort di Bali, Indonesia maut selepas tali rel lif dinaiki terputus.
Kejadian berlaku sebuah pusat peranginan di Banjar Kedewatan, daerah Ubud.
Susulan kejadian, polis giat menjalankan siasatan dari semua aspek termasuk wujud faktor kecuaian pihak pengurusan dan juruteknik dalam insiden itu.
Ketua Polis Ubud Made Uder berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu dipercayai berlaku akibat wayar keluli gondola terputus sehingga menyebabkan ia jatuh pada kecondongan 35 darjah.
Menurut saksi, insiden itu berlaku ketika lima mangsa menghampiri tempat perhentian di puncak, sebelum wayar keluli untuk menarik gondola terputus menyebabkan jentera dan mangsa tercampak dari landasan.
Kesemua mangsa ditemui bergelimpangan dan berlumuran darah berhampiran gondola itu.
Polis juga tidak menolak faktor kecuaian pihak pengurusan, selain juruteknik gagal memeriksa dengan teliti keadaan gondola berkenaan atau tidak diselenggara secara berterusan.