MOSCOW: Kumpulan pertama kereta kebal M1A2T Abrams buatan Amerika Syarikat (AS) tiba di Taiwan selepas kelewatan dua tahun kerana tekanan pada kapasiti perindustrian AS, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Menurut Wall Street Journal (WSJ) pada Jumaat, yang memetik Kementerian Pertahanan Taiwan, 38 kereta kebal M1A2T, varian M1 Abrams, tiba di Pelabuhan Taipei pada malam Ahad.
Mengikut rancangan asal, tentera Taiwan sepatutnya menerima kenderaan itu pada 2022, lapor WSJ.
Kelewatan itu dikaitkan dengan pandemik COVID-19 serta konflik di Ukraine dan Timur Tengah, yang menambah tekanan ke atas industri pertahanan AS, menurut laporan akhbar berkenaan.
Awal minggu ini, Kementerian Luar China menyeru AS supaya menghentikan penyaluran senjata dan bantuan kepada Taiwan susulan laporan penghantaran kereta kebal itu ke negara tersebut.
Washington meluluskan perjanjian bernilai US$2.2 bilion pada 2019 untuk menjual 108 kereta kebal Abrams kepada Taiwan, sebagai sebahagian daripada usaha AS untuk mengukuhkan pertahanan Taiwan di sepanjang pantai utaranya. Taiwan merancang menerima 42 kereta kebal tambahan pada 2025, manakala baki 28 lagi akan tiba pada 2026.
China yang menganggap Taiwan sebagai wilayahnya, berulang kali mengecam eksport senjata AS ke pulau itu, yang menurutnya menggalakkan pemisahan Taiwan. – BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.