
JERMAN: Seorang maut dan beberapa lagi cedera apabila sebuah kereta merempuh sekumpulan penduduk di bandar Mannheim, menurut jurucakap polis pada Isnin lalu.
Pemandu kereta tersebut ditahan, namun masih belum jelas sama ada terdapat suspek lain yang terlibat, tambah jurucakap itu.
Polis menggesa orang ramai untuk mengelakkan kawasan kejadian.
Insiden itu berlaku ketika orang ramai berkumpul di bandar-bandar sekitar wilayah Rhineland di barat Jerman untuk menyaksikan perarakan sempena musim karnival.
Menurut laporan media tempatan, sebuah SUV hitam dipandu laju ke arah sekumpulan orang dari dataran Paradeplatz, yang terletak di pusat bandar, menuju ke arah menara air ikonik Mannheim.
Keselamatan menjadi kebimbangan utama di Jerman selepas beberapa siri serangan ganas dalam beberapa minggu terakhir, termasuk rempuhan maut di Magdeburg pada Disember, di Munich bulan lalu, serta serangan tikaman di Mannheim pada Mei 2024.
Polis berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk perarakan karnival tahun ini selepas akaun media sosial yang dikaitkan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) menyeru serangan ke atas acara di Cologne dan Nuremberg. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.