MUMBAI: Polis Mumbai menahan seorang suspek dalam kes serangan menggunakan pisau terhadap pelakon terkenal Bollywood, Saif Ali Khan, menurut laporan saluran televisyen.
Khan, 54, ditikam enam kali oleh seorang penceroboh dalam cubaan rompakan di kediamannya di kawasan elit Mumbai pada awal pagi Khamis.
Beliau segera menjalani pembedahan selepas mengalami luka tikaman di tulang belakang, leher dan tangan, namun kini berada dalam keadaan stabil.
Beberapa saluran TV menyiarkan visual menunjukkan seorang lelaki dibawa ke balai polis Mumbai, dipercayai sebagai suspek utama serangan itu.
Bagaimanapun, pegawai penyiasat kes, Dikshit Gedam, tidak mengesahkan penahanan itu dan memberitahu tiada perkembangan besar dalam kes ini setakat ini.
Serangan terhadap Khan, yang menjadi antara bintang paling popular dan berjaya di Bollywood, mengejutkan industri filem serta penduduk Mumbai, dengan ramai yang menyeru agar kawalan keselamatan dan kepolisan diperketatkan. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.