PODGORICA: Seorang lelaki bersenjata yang menembak mati sekurang-kurangnya 10 orang dalam kejadian amuk di sebuah bandar kecil di Montenegro maut akibat kecederaan yang dialami selepas cuba membunuh diri, kata Menteri Dalam Negeri, Danilo Saranovic.
Lelaki bersenjata itu, yang dikenal pasti oleh polis sebagai Aleksandar Martinovic, 45, cuba membunuh diri berhampiran rumahnya di bandar Cetinje selepas dikepung polis.
“Apabila melihat dirinya berada dalam keadaan itu, dia cuba membunuh diri. Dia tidak meninggal dunia di tempat kejadian, tetapi semasa dalam perjalanan ke hospital,” kata Saranovic kepada RTCG.
Martinovic sebelum ini dikehendaki polis selepas melepaskan tembakan pada petang Rabu di sebuah restoran di Cetinje, di ibu negara Montenegrin menyebabkan empat orang awam terbunuh.
Dia kemudian bergerak ke tiga lokasi lain, membunuh sekurang-kurangnya enam orang lagi, termasuk dua kanak-kanak, manakala empat mengalami kecederaan parah.
Menurut polis, Martinovic mempunyai rekod jenayah lampau iaitu memiliki senjata secara haram.
Perdana Menteri Montenegro, Milojko Spajic menyifatkan kejadian amuk itu sebagai ‘tragedi yang dahsyat’ dan mengisytiharkan tiga hari berkabung
Spajic berkata, pihak berkuasa akan mempertimbangkan untuk mengetatkan kriteria memiliki dan membawa senjata api, termasuk kemungkinan larangan sepenuhnya terhadap senjata.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.