Tumpuan :
Dunia

Suspek pembunuhan CEO UnitedHealth dibawa ke New York untuk perbicaraan

Luigi Mangione, 26, suspek utama kes pembunuhan eksekutif UnitedHealth, Brian Thompson, di New York City, tiba untuk sesi pendengaran pemindahan di Mahkamah Blair County, Hollidaysburg, Pennsylvania. – FOTO: Reuters

PENNSYLVANIA: Suspek utama dalam kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif UnitedHealth, Brian Thompson, Luigi Mangione, 26 tiba di Mahkamah Blair County pada Selasa untuk sesi perbicaraan sebelum dipindahkan ke New York bagi menghadapi perbicaraan lanjut.

Mangione tiba dengan kawalan ketat pihak polis dan dibawa keluar dari kenderaan dengan tangan bergari. Ketika berjalan menuju ke dalam mahkamah, dia sempat menjerit, “Ini langsung tidak relevan dan satu penghinaan kepada kecerdikan rakyat Amerika serta pengalaman hidup mereka,”

Kes ini melibatkan pembunuhan Thompson, 50, yang ditembak mati di luar sebuah hotel di Manhattan pada 4 Disember lalu. Insiden tersebut menggemparkan rakyat Amerika Syarikat (AS) dan mencetuskan operasi memburu suspek secara besar-besaran oleh pihak berkuasa.

Mangione ditahan di sebuah restoran makanan segera di Altoona, Pennsylvania, pada Isnin lalu, selepas seorang pekerja mengenal pasti wajahnya berdasarkan imej kamera pengawasan yang dikeluarkan polis.

Dalam penahanan itu, pihak berkuasa turut merampas senjata api, pakaian, dan dokumen pengenalan palsu yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tembakan tersebut.

Menurut sumber polis, siasatan kini difokuskan untuk menyiasat pergerakan Mangione di Pennsylvania dalam beberapa hari sebelum penangkapannya.

Pihak berkuasa juga sedang menyiasat kemungkinan adanya individu lain yang membantu suspek sebelum atau selepas kejadian itu.

Sesi pendengaran itu akan menentukan proses pemindahan Mangione ke New York, di mana dia dijangka akan berdepan pertuduhan rasmi berkaitan pembunuhan berprofil tinggi ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini