Tumpuan :
Dunia

Suspek letupan trak elektrik, Tesla Cybertruck tembak diri sendiri di kepala

Pihak berkuasa menjalankan siasatan di sebuah kediaman susulan letupan di Las Vegas semalam. – FOTO: Reuters

LAS VEGAS: Askar pasukan khas Amerika Syarikat (AS) yang meletupkan trak elektrik, Tesla Cybertruck di luar hotel milik Presiden AS terpilih, Donald Trump, di Las Vegas dikatakan menembak dirinya sendiri di kepala sebelum letupan itu, kata pihak berkuasa semalam.

Bagaimanapun, punca suspek mengambil tindakan sedemikian atau motifnya masih ‘tidak diketahui’.

Menurut pihak berkuasa, ahli kumpulan elit Beret Hijau, Matthew Livelsberger, 37, mengambil tindakan bunuh diri dalam kenderaan yang disewanya.

Kenderaan itu didapati mengandungi bekas minyak dan bunga api, yang kemudiannya terbakar, mengakibatkan letupan.

Mayat Livelsberger rentung sehingga tidak dapat dikenal pasti, namun Sheriff Las Vegas, Kevin McMahill, berkata pihak berkuasa yakin beliau satu-satunya individu yang berada dalam kenderaan terbabit.

McMahill dalam satu sidang media di Las Vegas memaklumkan, Livelsberger yang dikenal pasti melalui pas tentera, pasport dan kad kreditnya, ditemui dengan kesan tembakan di kepala manakala sepucuk pistol ditemui di bahagian kakinya.

“Sebab dia melakukan perbuatan itu tidak diketahui buat masa sekarang,” kata Ejen Khas Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Spencer Evans.

Evans turut memaklumkan, setakat ini belum ada maklumat yang boleh mengaitkan suspek dengan mana-mana pertubuhan pengganas di seluruh dunia.

Sementara itu, ejen khas Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan, Kenny Cooper berkata, Livelsberger secara sah membeli dua pucuk pistol separa automatik pada Isnin dengan senjata itu ditemui dalam kenderaan berkenaan.

Rakaman video di luar hotel Trump itu menunjukkan trak keluli tahan karat itu diletakkan di pintu masuk bangunan terbabit pada awal Rabu.

Ia kemudian terbakar, diikuti letupan kecil kelihatan seperti bunga api, yang turut menyebabkan tujuh orang mengalami kecederaan. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini