WASHINGTON: Sejumlah 77 pemenang hadiah Nobel menghantar surat terbuka kepada Senat Amerika Syarikat (AS) bagi membantah pencalonan Robert F. Kennedy Jr untuk jawatan Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (DHHS).
Menurut perutusan yang dihantar pada Selasa itu, kesemua mereka menyifatkan calon pilihan Donald Trump kurang kelayakan untuk jawatan itu, selain terpalit pendirian antivaksin.
Antara lain, surat yang ditandatangani 77 penerima Nobel dalam bidang perubatan, kimia, fizik dan ekonomi, ia mengaitkan rekodnya yang didakwa meletakkan Kennedy untuk memimpin DHHS akan membahayakan kesihatan awam.
Antara yang menandatangani surat itu adalah penerima hadiah Nobel perubatan 2023, Drew Weissman, yang berperanan membangunkan vaksin mRNA, satu pencapaian besar dalam memerangi COVID-19.
Kennedy, anak saudara kepada bekas Presiden John F. Kennedy Jr, membuat percubaan untuk bertanding sebagai calon Presiden pada awal tahun ini, sebelum memberikan sokongannya kepada Trump, yang menang pemilihan pada November lalu.
Sebagai balasan, Trump memilih Kennedy untuk mengawasi bahagian cabang eksekutif yang bertanggungjawab terhadap kesihatan dan perubatan, walaupun pencalonannya perlu mendapat kelulusan daripada majoriti Senat seperti dinyatakan oleh perlembagaan.
Kennedy, seorang peguam alam sekitar tanpa latar belakang perubatan, menghabiskan masa bertahun-tahun menyebarkan teori konspirasi mengaitkan vaksin dengan autisme, termasuk maklumat palsu mengenai vaksin COVID-19.
Selain kurang kelayakan atau pengalaman dalam bidang perubatan, sains, kesihatan awam atau pentadbiran, Kennedy juga penentang banyak vaksin yang melindungi kesihatan dan menyelamatkan nyawa seperti campak serta polio.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.