comscore
Tumpuan :
Dunia

Sumber nadir bumi terbesar di Eropah ditemui di Sweden

Foto AFP

KIRUNA: Kebergantungan Eropah terhadap nadir bumi berharga dari China dijangka berakhir dengan penemuan sumber baru di utara Sweden, jauh di atas Bulatan Artik di Eropah.

Menurut kenyataan kumpulan perlombongan Sweden, LKAB, ia mengenal pasti simpanan sumber asli agak besar itu di Lapland iaitu unsur nadir bumi yang penting untuk pembuatan telefon pintar, kenderaan elektrik dan turbin angin.

Syarikat milik kerajaan itu, yang melombong bijih besi di Kiruna, hampir 1,000 kilometer (km) di utara Stockholm, berkata terdapat lebih sejuta tan oksida nadir bumi.

Menurut LKAB, ia adalah simpanan terbesar yang diketahui bagi nadir bumi seumpamanya di Eropah.

Bagaimanapun, syarikat itu memberi amaran bahawa ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya satu dekad sebelum memulakan kerja perlombongan.

Walaupun penemuan itu dipercayai terbesar di Eropah, ia kekal kecil berdasarkan skala global, mewakili kurang satu peratus daripada 120 juta tan yang dianggarkan di seluruh dunia oleh Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Nadir bumi kini meliputi pelbagai aspek dalam kehidupan manusia, ia malah terdapat dalam cakera padat, lif dan kereta api.

Ia amat penting untuk bidang tenaga hijau yang berkembang pesat, penjana turbin angin dan enjin kereta elektrik. – AGENSI

Loading...
Terkini