Tumpuan :
Dunia

Sukarelawan polis didakwa rogol, bunuh doktor di India

KOLKATA: Sebuah mahkamah di Bengal barat memulakan perbicaraan pada Isnin ke atas seorang sukarelawan polis yang dituduh merogol dan membunuh seorang doktor wanita di hospital kerajaan pada Ogos lalu.

Sanjay Roy didakwa merogol dan membunuh doktor berkenaan selepas mayatnya ditemui di sebuah bilik darjah di RG Kolej dan Hospital Perubatan Kar di Kolkata pada 9 Ogos lalu.

Tuduhan terhadap Roy dibuat minggu lalu, bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah dan mendakwa bahawa dirinya telah dijadikan ‘kambing hitam’.

Menurut pihak berkuasa, sekitar 128 saksi dipanggil untuk memberi keterangan, dan perbicaraan dijadualkan berlangsung setiap hari dengan tujuan mempercepatkan proses perundangan kes berkenaan.

Sumber yang enggan dikenali turut melaporkan bahawa bapa kepada doktor wanita itu memberikan keterangan pada Isnin.

Selain Roy, pihak polis juga telah menahan pegawai yang bertanggungjawab menjaga balai polis tempatan serta pihak pengurusan hospital kerana didakwa mengganggu bukti dan terlibat dalam penyelewengan kewangan.

Kes itu, lantas menjadi tumpuan dan kritikan nasional di negara itu yang mempersoalkan keselamatan wanita di India, meskipun undang-undang yang lebih ketat telah diperkenalkan bagi melindungi golongan tersebut.

Ia turut menyoroti kelemahan dalam infrastruktur dan keselamatan di hospital kerajaan India, di mana kebanyakan hospital kekurangan kemudahan asas seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan kakitangan keselamatan yang mencukupi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini