comscore
Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] Status aktiviti letusan Gunung Ruang dinaikkan ke Tahap IV, waspada potensi tsunami


JAKARTA: Status letusan gunung berapi di Gunung Ruang di Kepulauan Sitaro, wilayah Sulawesi Utara dinaikkan daripada Tahap III (Siaga) kepada Tahap IV (AWAS).

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia turut mengeluarkan amaran potensi tsunami akibat letusan berkenaan.

“Berdasarkan pemerhatian visual dan bacaan yang menunjukkan peningkatan dalam aktiviti gunung berapi, paras amaran Gunung Ruang dinaikkan daripada tahap tiga kepada tahap empat,” kata Ketua PVMBG, Hendra Gunawan dalam satu kenyataan.

Gunung Ruang meletus buat kali pertama pukul 9.45 malam (waktu tempatan) kelmarin disusuli empat letusan lain semalam. FOTO: Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia

Susulan itu, penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan kawasan pantai disihatkan berjaga-jaga dan peka dengan sebarang amaran potensi tsunami yang dikeluarkan.

“Masyarakat di sekitar Gunung Ruang dan pengunjung/pelancong dinasihati terus waspada dan tidak memasuki wilayah radius 6 km dari pusat kawah aktif Gunung Ruang.

“Masyarakat yang bermukim pada wilayah Pulau Tagulandang yang masuk dalam radius 6 km agar segera dipindahkan ke tempat selamat di luar radius 6 km.

“Masyarakat di Pulau Tagulandang, khususnya yang tinggal berdekatan pantai, agar berwaspada potensi lontaran batuan pijar, luruhan awan panas (surge), dan tsunami yang disebabkan oleh runtuhan tubuh gunung api ke dalam laut” katanya.

Terdahulu, Peningkatan aktiviti gunung berapi di Gunung Ruang di Kepulauan Sitaro, wilayah Sulawesi Utara, sejak Selasa menyebabkan pemindahan 272 keluarga atau 828 individu dari kampung berhampiran.

Tempat perlindungan sementara di sekitar kawasan Tagulandang kini menempatkan 45 orang manakala 783 orang lagi telah berpindah ke rumah saudara-mara berhampiran atau pergi ke tanah besar menggunakan feri dan bot.

Pihak berkuasa tempatan telah mengisytiharkan Darurat selama 14 hari, berkuat kuasa dari 16 hingga 29 April.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini