BEIRUT: Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf mengecam ‘jenayah’ dilakukan Israel ketika melawat lokasi paling teruk terkesan dengan serangan rejim zionis di tengah Beirut rentetan serangan beberapa minggu kebelakangan ini.
Menurut sumber rapat Hizbullah, serangan udara pada malam Khamis di kawasan padat penduduk, Basta, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 22 orang, menyasarkan ketua keselamatan kumpulan yang disokong Iran di Lubnan, Wafiq Safa.
Namun, sama ada tentera Israel mahupun Hizbullah masing-masing tidak memberikan pengesahan bahawa Wafiq Safa menjadi sasaran serangan itu termasuk mengeluarkan kenyataan mengenai nasib pemimpin itu.
Bercakap kepada media, ditemani dua Ahli Parlimen Hizbullah, Ghalibaf mengecam apa yang beliau sifatkan sebagai ‘jenayah’ Israel.
Menurut Agensi Berita Nasional (NNA) rasmi Lubnan, pada awal Sabtu, Ghalibaf bertemu Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati, yang memaklumkan keutamaan kerajaan adalah usaha ke arah gencatan senjata.
Perdana Menteri semalam menggesa PBB meluluskan resolusi yang memanggil gencatan senjata segera antara Israel dan Hizbullah.
Ghalibaf dijangka bertemu rakan sejawat dari Lubnan, Nabih Berri, yang juga sekutu kuat Hizbullah, sebelum ke Geneva.
Ketika lawatan ke Lubnan Jumaat minggu lalu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata negaranya menyokong usaha untuk gencatan senjata serentak bersama Israel di Gaza dan Lubnan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.