SUNGAI GOLOK: Bukan setakat di dalam kereta, seorang wanita warga Thailand turut didapati menyembunyikan dadah di dalam colinya.
Tindakan suspek terbongkar selepas polis menggeledah kereta yang dinaiki suspek bersama suami seorang warga Malaysia.
Keseluruhan, 2,000 pil methamphetamine dan beberapa paket heroin dirampas daripada kedua-dua suspek.
Jurucakap Polis Thailand dalam satu kenyataan berkata serbuan dilakukan pada kira-kira jam 11.30 pagi semalam waktu tempatan ketika kereta suspek sedang diparkir di tepi sebatang jalan di Rang Aueathon bandar ini.
Suspek wanita berusia 31 tahun manakala suaminya 33 tahun.
Pada peringkat awal, polis cuma menjumpai sebahagian daripada pil methamphetamine yang dirampas itu daripada kedua-dua suspek sebelum pemeriksaan lanjut ke atas suspek wanita mendapati dia turut menyembunyikan heroin dan pil berbahaya itu di dalam colinya.
Semua harta pasangan itu membabitkan sebuah banglo, sebuah kereta dan sebuah motosikal disita.
Difahamkan kedua-dua mereka kerap mengedar dadah kepada penagih dadah warga Malaysia dan Thailand.
Kedua-dua mereka ini kini ditahan untuk siasatan lanjut.
Nilai dadah yang dirampas dianggarkan lebih RM25,000.